Kakak mangsa, Yusnidah Hussain, 47, berkata, setiap kenyataan yang dikeluarkan oleh individu tersebut telah menguris hati ahli keluarga yang membacanya.
“Saya minta Yana berhenti memberi kenyataan yang menafikan kesalahan mereka. Apa juga yang ditulis seperti mana tersebar dilaman sosial itu hanya menguris hati kami.
“Saya harap dia memikirkan perasaan kami yang masih bersedih kerana kehilangan ahli keluarga,” ujarnya.
Yusnidah ditemui ketika Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi menziarahi dua anak perempuan mangsa iaitu Nur Firuza Amira, 7 dan Nur Firuza Akila, 3, di kediaman mangsa di Batu Cave, pada Isnin.
Tambahnya, mereka masih tidak dapat memaafkan tindakan ahli kelab tersebut yang menjadi punca kemalangan hingga mengakibatkan mereka kehilangan tiga ahli keluarga.
“Semalam (Ahad), mereka (FMC) hantar wakil untuk beri sumbangan gula dan beras kononnya sebagai tanda pendamaian, tapi kami tidak boleh terima bulat-bulat dan tidak akan memaafkan mereka dengan apa yang sudah berlaku ini,” katanya.
Menceritakan pesanan terakhir adiknya sebelum terlibat dalam kemalangan itu, kata Yusnidah, arwah berkali-kali meminta agar dia membawa sekali Nur Firuza Amira, dan Nur Firuza Akila keluar berjalan.
Malahan, katanya, beberapa perubahan ketara pada diri arwah dapat dilihat beberapa minggu sebelum kejadian berlaku.
“Beberapa minggu ini setiap hari dia datang ke rumah saya dan minta saya buat air kegemarannya iaitu Nescafe dan roti bakar.
“Dia juga berpesan supaya saya bawa dua anaknya kalau keluar berjalan. Saya fikir dia bakal menunaikan haji atau umrah sekali lagi.
“Saya beritahu ibu tentang apa yang saya rasa itu sebelum berlaku kejadian ini dan tidak menyangka itu adalah pesanan terakhirnya,” ujarnya.
Dalam kemalangan pada Sabtu lalu, Fairuz Nizam, 35, isterinya Nova Safitri, 27, serta seorang anak perempuan mereka berusia tujuh bulan Nur Annisa Firuza tercampak dari kenderaan mereka selepas dirempuh Myvi yang dikatakan sedang berlumba.
Fairuz Nizam terbunuh di tempat kejadian, manakala Nova Safitri dan Nur Firuza Annisa meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur.
Semasa kemalangan, ketiga-tiga mereka dilaporkan dalam perjalanan pulang dari majlis perkahwinan di Putrajaya, lapor mStar.
0 ulasan:
Catat Ulasan