Sabtu, 9 Mei 2015

Kisah duit Tabung Haji Pak Abu Dari Sumber yang bersih Takut Jadi Haram...Na’uzubillahi min zalik!

Gambar Hiasan


PAK ABU masih belum puas. Hujung lengan bajunya ditarik-tarik. Kemudian dikibas-kibas.

Dia menyapu pula pangkal paha seluarnya. Ada berkas bedak yang melekat.

Pak Abu kembali bersuluh di cermin. Rambutnya yang sudah licin berkilat disikat dan dilumur minyak, kembali dibelek. Mukanya yang sudah siap nipis ditepek bedak, semula ditelek.

Pak Abu kemudian tersenyum puas lalu terus keluar dari bilik.

Kunci motosikal yang digantung di dinding sebelah kiri TV lama 18 inci itu dicapai. Dompet kulit permukaannya sudah terkopek-kopek yang diletak di atas almari berisi set pinggan mangkuk berbunga kangkung milik Mak Piah, dicapai. Pak Abu membuka dompet itu. Dia tersenyum puas lalu segera menapak menuruni anak tangga rumah satu persatu.

Honda Cub dihidupkan. Rumah tua di tapak tanah pusaka milik isterinya itu segera ditinggalkan.

Pak Abu mahu ke pekan. Tujuan utama Pak Abu hanya satu. Mahu ke Tabung Haji. Duit hasil jual sekerap yang dikumpulnya selama seminggu yang berbaki selepas beli barang dapur, mahu segera disimpan.

Lebih kerap Pak Abu ke Tabung Haji bermakna lebih banyaklah yang disimpannya bulan itu. Dan lebih banyak duit itu terhimpun, lebih cepatlah Pak Abu dan Mak Piah dapat ke Tanah Suci.

Baru tiga kilometer bergerak, Honda Cub Pak Abu buat hal. Motor tua itu seperti melompat-lompat. Terhuyung-hayang. Pak Abu cepat-cepat menekan brek. Pak Abu turun dan terus melihat ke arah tayar. Sah pecah!

Akhirnya, dengan kudrat tuanya, Pak Abu tolak motor itu.

Pak Abu tak boleh tinggalkan motor tua itu di tepi jalan. Macam mana pun motor itu perlu dibawa sama. Di pekan nanti Pak Abu boleh hantar motor itu ke bengkel untuk dibaiki.

Ada dua kilometer lagi baki perjalanan. Maka dua kilometer jugalah Pak Abu perlu mengheret motor itu merempuh panas mentari yang sudah mula mencarak.

Sampai di pekan baju Pak Abu sudah lencun. Pak Abu segera menyorong motor ke bengkel paling dekat dia nampak.

"Tayar pecah pakcik," kata pomen di bengkel itu.

"Berapa harganya ye kalau tukar tayar?"

"Tiga puluh dah lah pakcik."

Pak Abu membuka dompetnya. Dia memang sudah tahu berapa jumlah wang yang ada di dalam dompet itu. Tapi Pak Abu tetap juga mahu melihatnya semula.

"Bolehlah nak," kata Pak Abu tanda setuju. Tapi di hujung ayat itu ada roman yang berubah di raut wajah Pak Abu.

"Anak tukarkan dulu ye. Nanti pakcik datang semula." Pak Abu melangkah perlahan. Pak Abu laju menapak ke premis yang menjadi matlamat utamanya ke pekan.

Tadi semasa di rumah Pak Abu berhasrat menyimpan RM40 di Tabung Haji. Lebih banyak berbanding dua minggu lepas. Selalunya Pak Abu hanya dapat hulur paling banyak pun RM20 sekali simpan.

Tapi nampaknya hasrat Pak Abu untuk menyimpan dalam jumlah 'besar' kali ini tidak kesampaian. Tolak duit tukar tayar motor, Pak Abu hanya ada RM10 untuk dimasukkan ke dalam akuan Tabung Hajinya.

Tapi, walau jumlah itu kecil, senyum Pak Abu tetap merkah.

Honda Cub Pak Abu sudah siap dibaiki. Dengan senyum yang belum hilang, Pak Abu terus pulang.

Masuk saja simpang di kampung, Pak Abu tidak terus ke rumah. Pak Abu menyinggah di kedai kopi di tepi simpang.

Sambil duduk menunggu kopi o sampai, Pak Abu meraba-raba poketnya. Dalam poket itu ada wang kertas seringgit-seringgit.

Masa meraba-raba itulah dia dengar anak muda di meja sebelah bercerita tentang Tabung Haji. Kata anak muda itu, Tabung Haji guna duit pencarum untuk beli hartanah daripada 1MDB.

Pak Abu tak tau apa itu IMDB. Pak Abu juga tak tau cerita anak muda itu betul atau palsu.

Tapi yang Pak Abu faham...pembelian itu guna duit pencarum. Dan pencarum itu sudah tentu termasuk dirinya.

Kerut di dahi Pak Abu semakin menambah kedut bila dengar banyak cerita 'tidak sedap' daripada perbincangan anak muda itu.

Selama ini Pak Abu percaya pada Tabung Haji. Dia percaya badan berkanun itu akan menjaga wangnya dengan baik, jujur dan mulus. Semulus niatnya untuk menjadi tetamu ALLAH di Tanah Suci.

Dengan Pak Abu kita tidak perlu bicara tujuan jual beli hartanah beratus juta yang boleh bawa pulangan besar.

Bila dapat tahu duit yang mereka simpan RM10 seminggu itu 'kena pakai' untuk buat apartmen mewah, apa agaknya perasaan Pak Abu?

Adakah Pak Abu masih dapat tersenyum seperti waktu keluar dari menyimpan? Atau mungkin senyum manis Pak Abu terus bertukar kelat bila terbayang siapa yang akan tinggal di apartmen perkhidmatan yang dibangunkan oleh Tabung Haji nanti...

Duit yang Pak Abu simpan untuk ke tunaikan haji. Sudah tentu Pak Abu dapatkannya daripada hasil titik peluh yang bersih. Tetapi 'bersihkan' keuntungan apartmen perkhidmatan itu nanti? Siapa yang akan menjadi penghuni? Siapa yang akan menyewanya?

Sebut apartmen perkhidmatan mewah sudah tentu yang terbayang di mata adalah perempuan-perempuan cantik berseluar sempit...berskirt pendek. Ada kereta mewah yang menjemput dan menghantarnya! Na’uzubillahi min zalik!

Bukan prasangka. Tapi sekadar membawa pemikiran pembaca seperti ayah, ibu, datuk dan nenek saya di kampung yang saya bangunkan dalam watak 'Pak Abu'. Dan di luar sana ada sesungguhnya ada beratus ribu atau berjuta Pak Abu. Allahu a’lam.

“Allahu Rabbi, jangan Kau biarkan urusan-urusan kami ditentukan oleh diri kami..."

0 ulasan:

Catat Ulasan