Sabtu, 14 Disember 2013

PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri sedang menyiasat syarikat kawalan keselamatan yang mendapat lesen persenjataan namun menjual syarikat atau menyewakan lesen kepada pihak lain.
Mereka juga didapati memberi keizinan untuk senjata digunakan orang luar termasuk kongsi gelap, kata menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa berucap pada perhimpunan bulanan kementerian itu di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan penelitian satu persatu dibuat kepada 125 syarikat kawalan keselamatan yang memiliki lesen persenjataan yang didapati melakukan kesalahan itu daripada keseluruhan 772 syarikat kawalan keselamatan dalam negara.

Kata Ahmad Zahid, ada di kalangan syarikat terbabit bukan sahaja memindah milik syarikat kepada pihak lain, tapi ada juga yang menyewakan syarikat berkenaan untuk operasinya dijalankan tanpa menukar hak milik ekuiti dalam syarikat berkenaan, sebaliknya pengurusan dijalankan pihak ketiga.

"Saya telah beritahu dulu saya 'buta warna.' Tidak kira syarikat itu kepunyaan orang politik atau bukan orang politik, orang korporat atau bukan, kalau mereka melakukan kesalahan saya tidak berkompromi.

"Saya dan ketua setiausaha kementerian akan bertegas tidak terima rayuan itu dan kita terus batal lesen. Ini kerana negara kita pernah digemparkan dengan berita jenayah yang dilakukan pengawal keselamatan warga asing sehingga melibatkan kes bunuh," katanya.

Mengenai Ops Cantas Khas yang bermula 17 Ogos lepas, Ahmad Zahid berkata sehingga 3 Dis, seramai 36,725 suspek ditahan hasil saringan sejumlah 1.1 juta orang yang disyaki melakukan kesalahan. 

Selain itu sebanyak 1,080 senjata api dan senjata berbahaya dirampas selain rampasan terhadap 1,559 kenderaan, katanya.

Beliau berkata ops itu tidak akan dihentikan selagi masyarakat belum berpuas hati dengan penurunan kadar jenayah dan dapat menjalankan aktiviti harian tanpa sebarang gangguan.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata sehingga 3 Dis, Jabatan Imigresen menahan seramai 14,710 pendatang asing tanpa izin dan 182 majikan dalam Ops Bersepadu 6P yang bermula 1 Sept, melibatkan 1,851 operasi.

"Bagi Ops Bersepadu 6P (pengawal keselamatan) bagi tempoh yang sama, sebanyak 368 tangkapan pendatang asing dibuat dan 15 tangkapan terhadap majikan melalui 94 operasi," katanya. - Bernama

0 ulasan:

Catat Ulasan