Isnin, 17 Mac 2014

DUN Balingian - 1 lawan 1







Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebaik proses penamaan calon di Dewan Suarah Mesra Mukah ditutup jam 10 pagi tadi.

BN diwakili Yussibnosh Balo, 47, manakala PKR Abdul Jalil Bujang, 55, dengan nama kedua-dua calon itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihanraya Shafri Saili.



Yussibnosh tiba di pusat penamaan calon jam 8.55 pagi manakala Abdul Jalil menyusul 10 minit kemudian.

Mengiringi calon BN adalah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Timbalan Pengerusi BN Pusat; Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem; Ketua Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.


Yussibnosh yang juga bekas Pegawai Daerah Dalat bersama lebih 2,000 penyokong BN dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berarak sejauh satu kilometer ke pusat penamaan calon.


Turut kelihatan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Pengerusi PKR Negeri, Baru Bian.

Dalam pilihan raya negeri 2011, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengekalkan kerusi Balingian dengan mengalahkan Suriati Abdullah (PR) dan Datuk Salleh Jafaruddin (Bebas) dengan majoriti 5,154 undi.

Balingian mempunyai 13,366 pengundi berdaftar, dengan Melanau/Melayu kumpulan majoriti iaitu sebanyak 7,705 orang atau 57.65 peratus, Iban 3,875 (28.99 peratus), Cina 1,683 (12.59 peratus), Orang Ulu 29 (0.22 peratus) Bidayuh 19 (0.14 peratus) dan kaum lain 55 (0.41 peratus).

0 ulasan:

Catat Ulasan