Ahad, 30 Mac 2014

MH370 - Di mana mummy, tanya anak pramugari


























Dua anak Lee Khim Fatt ingin tahu bila mummy mereka, pramugari MAS, Foong Wai Yuang akan pulang ke rumah. Itulah juga soalan yang Lee tanya kepada syarikat penerbangan, yang didapati lebih banyak memberitahu kepada media berbanding keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370.

"Saya dapat lebih maklumat menerusi sidang media di televisyen berbanding daripada MAS," kata penasihat jualan kereta itu kepada The Malaysian Insider, hari ini.

"Pada mulanya, semua berjalan dengan baik. Pihak berkuasa memaklumkan kepada kita dua kali sehari melalui telefon, kadang-kadang lebih.


"Pada minggu kedua, panggilan berkurangan dan keluarga mula menerima SMS. Malah ini juga semakin berkurangan,” katanya.

Lee, 44, berkata beliau percaya keluarga semakin kurang menerima maklumat kerana arahan yang dikeluarkan pengurusan tertinggi di MAS.

“Ini tidak betul, keluarga harus diutamakan. Mereka memberitahu media lebih daripada mereka memberitahu maklumat kepada keluarga," katanya.

Katanya, beliau mempunyai masa yang sukar untuk berurusan dengan anak mereka - seorang perempuan berusia 10 tahun dan anak lelaki, 4 tahun yang sentiasa bertanya bila ibu mereka akan pulang.

"Pada mulanya, saya memberitahu mereka, kali ini ibu mereka akan mengambil masa yang lama untuk pulang ke rumah.

“Saya berjanji kepada mereka saya akan membawanya pulang ke rumah. Tetapi saya tidak tahu di mana dia sekarang.

"Saya tidak pasti sama ada saya boleh membawa ibu mereka pulang," katanya dengan suara yang mula serak.

Lee berkata, Foong, 39, isteri yang dikahwininya sejak 11 tahun lalu adalah seorang yang penyayang.

"Sudah tentu saya masih berharap keajaiban Tuhan. Tetapi apa yang kita semua mahu adalah realiti, cerita benar," katanya.

Lee tidak bersendirian dalam hal ini kerana saudara-mara dan ahli keluarga 227 penumpang pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac turut membuat tuduhan yang sama terhadap kerajaan Malaysia.

Banyak yang mengadu kepada pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam pertemuan di sebuah hotel di Putrajaya mengenai syarikat penerbangan itu harus "lebih sensitif" berurusan dengan mereka.

Lee menggunakan khidmat firma guaman Ribbeck Law Chartered dari Chicago untuk mengendalikan perkara berkaitan MH370 kerana marah dengan cara beliau dilayan.

Selain daripada RM16,000 bantuan awal yang diberikan kepada setiap keluarga penumpang MH370, Lee berkata, tidak ada apa-apa lagi yang diterimanya.

"Tiada tuntutan insurans dikeluarkan, tiada apa-apa pun selepas RM16,000,” katanya.

Ketika bercerita mengenai pertemuan dengan isterinya, Lee berkata, mereka bertemu ketika beliau bekerja sebagai pelayan sambilan di sebuah hotel selepas selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya mula bekerja sepenuh masa di hotel ketika dia mula bekerja di hotel yang sama,” katanya.

Pada 1996, Foong menyertai Malaysia Airlines sebagai pramugari sementara Lee bekerja di syarikat penerbangan yang berpangkalan di luar negara selama tujuh tahun sebelum kembali ke Malaysia.

Pada 2003, pasangan itu berkahwin dan anak perempuan mereka dilahirkan tidak lama selepas itu.

"Walaupun kami berkenalan dan bersama-sama untuk 20 tahun, tetapi sebenarnya masa yang dihabiskan bersama kurang daripada 10 tahun.

“Sekarang dia hilang, saya seperti kehilangan arah tujuan,” katanya.

Amat sukar untuknya menjaga suaranya supaya jangan sebak dan bergetar setiap kali menjawab soalan anak-anak di mana mummy mereka. – 30 Mac, 2014. - sumber - tmi

0 ulasan:

Catat Ulasan