Ahad, 15 Jun 2014

Yang pukul isteri itu bukan saya



DEK kerana pernah terlibat dengan pergaduhan, gengsterism dan penyalahgunaan dadah, cerita silam itu nyata memberi kesan terhadap dirinya pada hari ini.




Bolehkah anda meramalkan pemain terbaik setiap perlawanan?Sertai Peraduan WINMANIA kami


Kecewa dengan pelbagai tuduhan negatif sehingga mencalarkan namanya sejak menjadi penyanyi kira-kira 28 tahun lalu, Awie mengakui itu antara dilema setiap kali namanya dikaitkan dengan cerita kontroversi.

Sehinggakan apabila ada kisah yang membabitkan kejadian rockers memukul isteri di sebuah bank di ibu negara baru-baru ini, namanya terus dikaitkan.

Biar tidak menafikan mahupun mengiyakan kejadian itu, bagi lelaki berusia 46 tahun ini, itu merupakan satu tuduhan yang melampau.

Kerana baginya dia tidak akan melakukan tindakan yang boleh mendatang mudarat terhadap orang tersayang.

“Dalam kes-kes yang membabitkan nama saya sebelum ini, jelas saya tidak diberi peluang untuk menjernihkan keadaan malah terus-terusan dituduh yang macam-macam.

“Masyarakat hanya nampak semua kesilapan saya sedangkan mereka tidak tahu tentang cerita sebenar," tegas Awie yang enggan bercerita panjang lebar perkara yang membabitkan soal rumahtangganya itu.

Mengulas lanjut tentang dakwaan memukul isterinya, Rozana Misbun itu Awie berkata, perkara membabitkan keluarga tidak perlu dikongsi bersama khalayak.

“Saya hanya akan bercerita jika ada bukti yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak yang menyabitkan nama saya terhadap dakwaan tersebut.

“Jika tiada, rasanya tak perlu saya ulas.

“Kisah rumahtangga terlalu privasi buat saya. Tidak wajar digembar-gemburkan," tegasnya sambil menafikan tertekan dengan dakwaan tersebut.

Mengakui sebagai suami isteri adakalanya berlaku perselisihan faham antara mereka namun katanya, situasi yang sama turut berlaku pada pasangan suami isteri yang lain.

Menggunakan perumpamaan sedangkan lidah lagi tergigit, kata Awie, dia hanya mampu membiarkan masyarakat membuat spekulasi.

“Saya manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Yang baik orang tak nampak tapi kalau yang buruk, mudah-mudah saja buat cerita," katanya yang mengakui hubungannya dengan isteri baik-baik saja.

Definisi memukul

Kata Awie lagi, dia tidak akan menggunakan kekerasan melainkan dia diprovakasi terlebih dahulu malah mendefinisikan perbuatan memukul sebagai satu tindakan mempertahankan diri.

Sebagai lelaki sejati tegas Awie, dia tidak akan menggunakan kelebihan kudratnya untuk menyakiti mana-mana pihak melainkan dia ‘diserang’ terlebih dahulu.

Tegas Awie lagi, dia juga manusia biasa yang kadangkala gagal mengawal kemarahan dan situasi sebegitu menyebabkan namanya berterusan dikaitkan dengan pelbagai kes membabitkan kekerasan.

Justeru akuinya, dia sudah lali apabila namanya kerap dikaitkan dengan cerita negatif yang bertujuan untuk memburukkan imejnya di mata masyarakat.

“Saya sedih apabila orang kata saya gengster yang memukul isteri sendiri. Itu bukan saya," katanya kesal.

Mengakui semakin kerap diuji dengan dugaan, semakin luas rezeki yang diberikan oleh-Nya kata Awie, dia bersyukur apabila kini dilantik menjadi duta rangkaian produk Longjack bagi minuman tenaga dan produk kesihatan.

“Setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. Kesabaran saya dibalas dengan rezeki lain," kata Awie.

Mengulas tentang isu album terbaharu Wings, Menakluk Kosmos dicetak rompak dalam bentuk cakera padat (CD) kata Awie, dia kesal kerana perkara tersebut masih belum ada tindakan khusus daripada pihak berkuasa.

“Soal cetak rompak ini perlu dilakukan secara kolektif oleh pelbagai pihak dan bukan secara individu oleh mana-mana penggiat seni.

“Kalau keadaan itu berterusan berlaku, macam mana kami hendak hidup apabila hasil kerja keras kami sewenang-wenangnya dirampas," katanya yang masih menanti pertemuan secara empat mata dengan Presiden KRU Music, Norman Abdul Halim yang menjadi penerbit album Wings.

3 ulasan:

  1. Siapa yang hendak mengaku kalau berak di tengah jalan...!!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hang pernah berak di tengah jalan ka?

      Padam
  2. german 3-portugal 1

    BalasPadam