PETALING JAYA: Berbaki beberapa jam sebelum Mahkamah Persekutuan membacakan keputusan kes liwat keduanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu supaya dibebaskan daripada pertuduhan itu. Menurut ketua pembangkang itu, pada tahap ini beliau masih mengharapkan mahkamah memihak kepadanya. "Saya tak salah, jangan hantar saya ke penjara. "Namun saya masih mengharapkan keputusan yang wajar dan waras," katanya ketika berceramah di Padang Timur di sini, Isnin malam. Ceramah perdana 'Rakyat Hakim Negara' anjuran pakatan pembangkang itu adalah medan terakhir meraih simpati rakyat terhadap kes tuduhan liwat yang dihadapi Anwar. Pada Selasa, Anwar akan berhadapan keputusan rayuan terakhir kes meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu didakwa meliwat Mohd Saiful, 30, di Unit 11-5-1 di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Mengulas lanjut Anwar bagaimanapun berkata, beliau sudah bersedia sekiranya dipenjarakan. "Kalau masuk (penjara) pun kita tak akan menyerah. Kita akan terus berjuang... InsyaAllah (saya) bebas. "Saya sedia terima apa jua keputusan jika ini (keputusan agar dipenjara) adalah harga yang perlu saya bayar," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan