Rabu, 8 April 2015

Cium mulut | Ozlynn bangga dengan tindakan johan ?



"Itu rutin biasa kami," kata pelakon Ozlynn mengenai kontroversi aksi bercium mulut dengan Johan Raja Lawak pada malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2014) pada Ahad lalu.

Menjelaskan lebih lanjut perkara itu, Ozlynn yang ditemui pada sidang media Anugerah Tribute P Ramlee sebentar tadi menyatakan sebagai isteri dia bangga dengan tindakan suaminya itu kerana ia dilakukan secara spontan.

Malah bercium menjadi amalan mereka di rumah sebagai menunjukkan rasa kasih sayang bukan saja sesama mereka juga terhadap anak-anak mereka.

"Mungkin orang ramai menganggap aksi itu keterlaluan tapi bagi kami itu biasa sebab memang jadi amalan kami di rumah sebagai cara kami tunjukkan kasih sayang dan bermanja.

"Malah, amalan itu juga diamalkan terhadap anak-anak.

"Di rumah, misalnya kalau saya sedang lipat baju, Johan panggil saya dan dia nak saya cium dia.

"Malah anak saya yang sudah berusia 10 tahun, kalau dia mahu keluar rumah selepas dia minta izin dan dia akan cium papanya dulu," katanya.

Pada malam anugerah tersebut, Johan mencium mulut Ozlynn selepas namanya diumum sebagai pemenang kategori Penyampai Radio Paling Popular.

Adegan itu menimbulkan isu panas kerana ramai pihak menyifatkan kelakuan itu terlalu mengikut budaya barat dan kurang manis dilakukan depan khalayak.

"Saya rasa pada malam itu ramai lagi artis lain yang tiada ikatan sah, berpelukan dan berlaga pipi, kenapa tidak menjadi isu? Itu semua terpulang pada mentaliti masing-masing.

"Apa yang kami buat itu bukannya menghairahkan pun. Ia sekejap saja hanya satu dua saat.

"Saya bangga sebab itu perkara pertama yang terlintas di fikiran suami saya dan saya dapat sama-sama merasai kemenangan dia," ujarnya.

Sementara itu, Ozlynn tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Popular menerusi lakonan dalam drama Apa Guna Berjanji.

Gembira dengan tersebut, Ozlynn menyatakan dia tidak melihat percalonan tersebut sebagai batu loncatan untuk kembali aktif dalam lakonan kerana mahu memberi tumpuan pada keluarga.

Akuinya, dia juga kini bersikap memilih tawaran berlakon.

"Saya tidak berhasrat untuk aktif berlakon sebab fokus saya pada suami dan keluarga.

"Sebab itu sekarang ni pun saya memilih untuk terima tawaran. Kalau dulu saya ambil saja apa-apa watak.

"Sekarang saya betul-betul pastikan dulu dari segi skrip dan watak yang ditawarkan. Jika sesuai, saya terima," katanya.









-mD

0 ulasan:

Catat Ulasan