Sabtu, 21 Disember 2013

Saya mahu buktikan anak orang Asli boleh berjaya "

  • Abdul Ghani bersama ibu bapanya menunjukkan sijil pelajar cemerlang PMR bagi calon masyarakat Orang Asli yang diterima




PONTIAN - Dibesarkan dalam keluarga yang mempunyai bilangan adik-beradik ramai tidak menghalang anak nelayan muncul sebagai pelajar cemerlang Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi calon masyarakat
Orang Asli peringkat negeri Johor.

Abdul Ghani Nordin, anak bongsu dari 10 beradik memperoleh keputusan 7A 1B pada PMR yang diumumkan kelmarin.

Dia menyifatkan kejayaannya itu sangat bermakna dan merupakan hadiah kepada kedua ibu bapanya.

Pelajar Sekolah Menengah Sri Perhentian ini juga berazam untuk mengubah pandangan orang ramai tentang masyarakat Orang Asli yang bekerja sebagai nelayan di sini.

“Saya ingin berjaya dalam pelajaran untuk mengejar cita-cita menjadi jurutera, saya mahu buktikan anak orang Asli boleh berjaya,” katanya.

Katanya, kehidupan serba kekurangan yang diharungi menjadikan dia lebih tabah dan matang dalam membahagikan masa untuk belajar dan membantu ayahnya, Nordin Ismail, 60.  

“Bagi saya, merekalah pendorong utama untuk saya berjaya dalam pelajaran dan berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan.

“Jika mempunyai masa terluang, saya akan membantu mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Haji Dahlan, semalam.

Menurutnya, dia akan memberikan tumpuan sepenuhnya di dalam bilik darjah dan mengulang kaji pelajaran pada waktu malam di rumah.

“Saya tidak sangka dianugerahkan pelajar cemerlang PMR bagi calon masyarakat Orang Asli, kejayaan ini memberi semangat untuk berjaya pada peperiksaan SPM kelak,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan