Isnin, 9 Jun 2014

Digosip dengan VIP, itu lumrah artis - Raja Ilya



SETELAH membintangi filem Tamil tempatan berjudul Appalam pada tahun 2010, Raja Ilya yang mempunyai wajah iras gadis India semakin dikenali ramai dalam industri lakonan.

Sejak itu, Raja Ilya atau pemilik nama sebenar Raja Ramilah Begum Raja Mohamad mula mengorak langkah untuk mencipta nama sebagai pelakon, malah popularitinya semakin meningkat apabila tercalon dalam Top 5 Anugerah Bintang Popular (ABP) 2013 menerusi kategori Pelakon TV Wanita Popular.

Di sebalik usahanya bergelar seorang anak seni berjaya, ternyata pelakon berkenaan tidak dapat lari daripada dikaitkan dengan kisah kontroversi. Terbaharu, dia dikatakan telah ditaja oleh seorang VIP.

Berkesempatan bertemu dengannya sewaktu acara Jalan-Jalan Minum Kopi Malaysia yang berlangsung di The Weld, Kuala Lumpur baru-baru ini, Raja Ilya lantas menjelaskan perkara yang berkaitan dengan dirinya itu.

Kosmo!: Dengarnya ada VIP yang telah menaja kehidupan peribadi Raja Ilya. Boleh jelaskan mengenai perkara tersebut?

RAJA ILYA: Saya akui memang ada terdengar cerita yang mengatakan saya ditaja oleh VIP selepas berakhirnya acara ABP 2013 tempoh hari. Secara jujurnya ia memang tidak benar sama sekali kalau ada yang ingat saya ada skandal dengan individu tertentu.

Apakah yang menyebabkan cerita sebegini boleh timbul?

Saya beranggapan bahawa semua ini berlaku apabila ada yang melihat saya mendapat layanan istimewa semasa acara tersebut berlangsung berbanding dengan artis-artis lain yang hadir.

Namun begitu, ramai yang tidak sedar bahawa syarikat KTM Malaysia CKD merupakan salah satu penaja acara ABP 2013 dan saya pula merupakan duta untuk syarikat berkenaan. Jadi, layanan yang saya terima berbeza memandangkan peranan saya sebagai duta dan keutamaan pasti diberikan kepada penaja.

Bagaimanakah dengan penerimaan keluarga apabila timbul cerita-cerita sebegini?

Sudah tentu keluarga lebih mengenali diri saya dan mereka tahu cerita yang sebenar. Sebagai seorang pelakon yang dikenali ramai, saya anggap perkara sebegini menjadi lumrah buat seorang artis.

Lagipun keluarga sentiasa memberikan sokongan moral sekiranya saya berhadapan dengan cerita-cerita yang kurang baik. Itu yang menjadikan kekuatan kepada saya untuk terus bertahan dalam bidang ini.

Apakah status anda sekarang ini?

Buat masa sekarang saya masih lagi tidak memiliki kekasih, biarpun terdapat cerita yang mengatakan saya akan berkahwin. Ketika ini saya tidak mahu terikat dengan mana-mana lelaki dan mahu fokus kepada bidang kerjaya sahaja.

Ceritakan tentang perkembangan kerjaya anda sekarang?

Ketika ini saya sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri berjudul Cinta Ibadah sebanyak 200 episod. Bagaimanapun, saya sempat berlakon dalam tiga buah telemovie untuk tayangan pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

Selain itu, saya juga bakal terbabit dengan sebuah filem Kollywood (Tamil) yang kini masih dalam proses penggambaran. Sepatutnya bulan ini saya akan ke India untuk menjalani penggambaran tetapi ia terpaksa ditangguhkan memandangkan negara itu baru sahaja selesai pilihan raya baru-baru ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan