Sabtu, 15 Ogos 2015

Guru silat ditikam perut terburai , berlumuran darah




KUCHING: Seorang guru silat ditemui berlumuran darah dengan keadaan perut terburai dipercayai akibat ditikam dengan senjata tajam di Travilion Mall, Padungan di sini semalam.
Mangsa berusia 54 tahun berasal dari Kampung Siol Kandis di sini dikatakan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pusat hiburan dan baharu selesai bekerja semasa kejadian berlaku sekitar jam 4 pagi.
Menurut sumber, mangsa difahamkan dalam perjalanan menuju ke keretanya didatangi sekumpulan lelaki dipercayai lebih daripada tiga orang kemudiannya terus menyerang mangsa.
“Mangsa cedera parah dan terdapat banyak kesan tikaman di badannya dan keadaan perutnya juga terburai semasa ditemui menyebabkan mangsa terpaksa menjalani pembedahan dengan kadar segera.
“Difahamkan, mangsa ditemui oleh orang awam dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri,” kata sumber memberitahu mangsa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dengan ambulans.
Beberapa anggota dari balai polis berhampiran tiba di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan dan motif serangan masih belum diketahui.
Sehingga berita ini ditulis semalam, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di HUS.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

0 ulasan:

Catat Ulasan