Sabtu, 8 Ogos 2015

Pandangan Dr Khairul Hafidz Mengenai isu DNA Susu Lembu. Benar atau Salah Ayuh baca !



Saya merujuk kepada satu rancangan tv semalam yang membincangkan mengenai kebaikan susu ibu, dan satu pernyataan daripada penyampai telahpun menjadi viral di laman social (saya tidak ingin menyiarkan semula gambar dan memberitahu nama penyampai tersebut, kerana tujuan artikel ini bukanlah untuk mengaibkan sesiapa). Di sini saya fikir, ada beberapa perkara yang dapat kita pelajari bersama.
DNA ataupun deoxyribonucleic acid adalah asid nucleik yang terdiri daripada dua rantaian nucleotides yang panjang menyimpul di antara satu sama lain membentuk helix berganda. Asas pembentukan DNA ini adalah terdiri daripada 4 asid amino iaitu adenine (A), thymine (T), cytosine (C) dan guanine (C). DNA inilah yang membawa maklumat genetik untuk manusia. Kita boleh bayangkan DNA ini adalah seperti komputer yang menyimpan segala maklumat seseorang, seperti jantina, tinggi badan, warna kulit, warna mata, penyakit bawaan genetik dan sebagainya [1][2].
Susu ibu sememangnya mempunyai khasiat yang sangat banyak. Susu ibu boleh dipecahkan kepada dua, makronutrien dan mikronutrien. Makronutrien terdiri daripada zat-zat untuk pertumbuhan anak, perkembangan otak, lemak tak tepu (polyunsaturated fatty acid) manakala mikronutriennya terdiri daripada Vitamins A, B1, B2, B6, B12, D, K dan iodine. Terdapat juga garam galian seperti sodium, potassium, kalsium, magnesium, fosfat dan chloride [3][4]. Susu ibu juga mempunyai kolostrum yang kaya dengan antibody untuk melawan penyakit.
Komposisi susu lembu secara umum lebih kurang sama seperti susu ibu tetapi konsentrasinya berbeza sesuai untuk perkembangan anak lembu [5].
Banyak kelebihan susu ibu berbanding susu lembu, susu ibu adalah steril, mudah diberikan dan selalu ada, suhu yang tepat untuk bayi, tidak terlalu pekat atau terlalu cair, murah, bayi jarang mengalami allergi kepada susu, mudah dihadam bayi, pemberian susu ibu menguatkan ikatan ibu dan anak, stimulasi pengeluaran oxytocin untuk pengecutan rahim apabila anak menghisap puting, boleh mempunyai kesan kontrasepsi kepada ibu kerana menyusu menghalang ovulasi dan datangnya haid [6].
Kerana itu dalam perubatan moden kami menggalakkan pemberian susu ibu secara ekslusif selama 6 bulan.
Kesimpulannya,
Pertama, pemberian susu ibu adalah yang terbaik.
Saya memahami penyampai ingin memberitahu bahawa susu ibu adalah yang terbaik, dan kami juga sependapat, cuma dalam kita berkongsi maklumat mengenai susu ibu, kita wajar memberikan MAKLUMAT yang TEPAT kepada pendengar.
Memberi susu lembu, yang masuk ke badan (perut) bayi adalah NUTRIEN bukannya DNA. Kedua itu mempunyai beza yang amat besar. Bayi dapat khasiat daripada susu lembu bukannya DNA lembu.
Kedua, takutnya berlaku kekeliruan.
Saya banyak baca dan dengar kekeliruan daripada apa yang diberitahu, mungkin penyampai ada maksudnya yang tersendiri, tapi ramai yang memahami minum susu lembu DNA bayi bergabung dengan DNA lembu, akhirnya anak mungkin jadi pemarah kerana lembu cepat marah.
Tidak mungkin DNA manusia boleh bergabung dengan DNA haiwan kerana pemakanan, jika begitu segala apa yang kita makan juga punya DNA mereka, takkan lah semua DNA ini juga bergabung? Jika kita mengkaji mengenai DNA secara mendalam kita akan tahu bahawa ia tak mungkin akan berlaku, apa lagi DNA lembu yang masuk ke badan mampu MENGUBAH tingkah laku manusia menjadi pemarah.
Ini yang bahaya, kerana pernyataan seperti ini akan mengelirukan pendengar dan akhirnya menimbulkan kemarahan, dan ini akan menyebabkan maksud sebenar rancangan untuk menyebarkan susu ibu yang terbaik tidak sampai.
Ketiga, ini juga menjadi PENGAJARAN kepada diri saya dan juga para professional, ahli akademik, ahli agama dan selebriti yang lain. Dalam kita memberi maklumat, masyarakat MUDAH PERCAYA kepada kita kerana KREDIBILITI yang kita ada. Jadi kita punya TANGGUNGJAWAB untuk MENYAMPAIKAN PERKARA YANG BETUL.
Jadi saran saya, bercakaplah mengikut kapasiti dan kepakaran kita. Buat kajian, jika boleh quote rujukan yang kita ambil supaya hujah dan fakta yang kita sampaikan itu adalah tepat dan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat.
Wallahualam.
Sumber rujukan:
[1] Essential Genetics: A Genomic Perspective, Daniel L. Hartl, 6th Edition (2014)
[2] Looking At How Genetic Traits Are Inherited With Graphic Organizers, Chris Hayhurst, 1st Edition (2005)
[3] Human Milk Compositions: Nutrients and Bioactive Factors, HHS, Olivia Ballard (2014)
[4] The Composition of Human Milk, PubMed, Jennes R. (1979)
[5] Bovine Milk In Human Nutrition – A review, BioMed, Anna Haug et al (2007)
[6] Understanding Medical Physiology, Nutrition During Infancy and Childhood, RL Bijlani, 3rd Edition (2004) 

kredit fb beliau - 
https://www.facebook.com/khairulhafidz.alkhair/posts/10153739890905769

2 ulasan:

  1. Tanya pd yg ahli bila kita tak tahu.
    Bab susu ni, kena tanya doktor lah yg betulnya, tak kan tanya kat ustaz / ustazah pulak.

    BalasPadam
  2. hihi, tak sangka boleh jadi viral benda ni.
    bagus la tu, sekurang-kurangnya cara pemikiran analitikal masyarakat Malaysia ni dah semakin berkembang, akan analisis dulu sebarang berita yang sampai.
    saya setuju yang susu ibu adalah yang terbaik, tapi tentang DNA tu, saya tak setuju sangat.
    yang pasti, DNA kita adalah gabungan dari DNA ibu dan ayah kita.
    itulah sebaik-baik kejadian.
    -blogspot : rawatankanser2013

    BalasPadam