PELAKON popular, Shah Jaszle cukup sinonim dengan kontroversi berkaitan wanita. Bagaimanapun, kontroversi dia ditangkap khalwat dengan seorang wanita pada 16 Mei tahu lalu merupakan kontroversi paling besar buatnya.
Ironinya, Shah Jaszle atau nama sebenarnya, Mohd. Shahrizal Jaszle bin Jasmin, 26, ditangkap khalwat bersama seorang wanita, Farah Nurizzati Salleh, 22, sedangkan ketika itu dia telah bertunang dengan Redzwani Puteri, 26.
Sempat putus tunang ekoran tamparan kontroversi tangkap khalwat itu, pertunangan mereka disambung kembali pada Hari Raya Haji tahun lepas.
Kini, kes khalwat itu sedang dibicarakan di mahkamah. Mengejutkan apabila saksi pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memberitahu, dia ditemui dalam sebuah bilik sedang berada di atas katil dengan hanya memakai seluar pendek atau boxer.
Bahkan Shah Jaszle turut mengaku kepada pegawai JAIS, dia dan Farah Nurizzati merupakan pasangan kekasih dan belum bernikah.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Shah Jaszle tentang perasaannya ketika berhadapan dengan perbicaraan kes khalwat tersebut.
Kosmo!:Bagaimanakah perasaan Shah Jaszle apabila berhadapan dengan perbicaraan kes khalwat ini?
SHAH JASZLE:Saya macam biasa sahaja, tiada apa yang berbeza. Bahkan saya hadir ke mahkamah seorang diri bersama peguam. Mungkin saya sudah terbiasa dengan kontroversi, jadi tidak ada apa perasaan yang boleh saya jelaskan.
Kosmo!:Apabila tersiar berita yang mengatakan anda ditangkap khalwat hanya memakai seluar boxer, adakah anda berasa malu?
SHAH JASZLE:Memanglah bila orang baca terus akan menjatuhkan hukuman kepada saya kerana benda yang buruk orang terus ingat. Berita itu tidak ditulis secara keseluruhan. Cuma saya harap, tunggulah sehingga perbicaraan selesai dan hukuman dikeluarkan oleh mahkmah.
Kosmo!:Bagaimanakah pula reaksi keluarga dan tunang anda tentang perbicaraan kes khalwat ini?
SHAH JASZLE:Keluarga saya macam biasa, mereka ada juga bertanya mengenai perkembangan kes. Tunang saya pula, dia tidak ambil tahu langsung kerana kami berdua sangat sibuk, tidak sempat untuk bercakap mengenai kes ini. Apa yang pasti, hubungan kami tidak ada sebarang masalah.
Kosmo!:Adakah perancangan majlis perkahwinan anda tetap diteruskan?
SHAH JASZLE:Kami mengikat tali pertunangan selama dua tahun. Buat masa ini, kami tunggu sehingga perbicaraan kes khalwat ini selesai, barulah kami akan berbincang tentang perkahwinan. Kalau boleh saya mahu perbicaraan ini tamat dengan segera.
Kosmo!:Selepas kontroversi tangkap khalwat, adakah rakan-rakan anda masih bersama anda seperti biasa?
SHAH JASZLE:Jika hendak tahu, sebelum kontroversi itu lagi saya memang tidak ramai kawan. Saya lebih suka bersendiri. Jadi, apabila kontroversi ini berlaku, tiada apa yang berubah dengan keadaan sekeliling saya.
Kosmo!:Adakah anda pernah terfikir kerjaya anda dalam bidang seni akan tamat setelah ditangkap khalwat?
SHAH JASZLE:Sejujurnya pernah fikir seperti itu. Bimbang tentang kerjaya dan masa depan diri sendiri. Bagaimanapun, benda yang sudah berlaku tidak boleh diputarkan semula, jadi saya hadapi apa yang datang dengan tenang. Apa yang saya boleh lakukan adalah menjaga disiplin dan persembahan saya di hadapan kamera.
Kosmo!:Selepas apa yang berlaku adakah kerjaya anda terjejas?
SHAH JASZLE:Alhamdulillah, setakat ini tawaran tidak putus. Saya masih sibuk di lokasi penggambaran. Esok (semalam) saya akan berangkat ke Australia untuk penggambaran drama Silir Kasih Bella.
Kosmo!:Apakah pengajaran terbesar yang anda peroleh apabila berhadapan dengan kontroversi ini?
SHAH JASZLE: Jangan sesekali percaya dengan orang. Bila perkara ini berlaku saya sudah tidak percaya dengan sesiapa pun. Orang di hadapan kita cukup baik tetapi sebenarnya masing-masing mempunyai kepentingan sendiri.
Sumber | Kosmo online
0 ulasan:
Catat Ulasan