Rabu, 24 Ogos 2016

Pengganti Chong Wei adalah seorang wanita



KUALA LUMPUR 23 Ogos – Ketika tumpuan kebanyakan peminat badminton terarah kepada siapa yang akan mengisi kekoso­ngan Datuk Lee Chong Wei dalam perseorangan lelaki, bekas jurulatih negara, Rashid Sidek sebaliknya percaya, pengganti Chong Wei adalah wanita.


Menurut Rashid, juara remaja dunia, Goh Jin Wei boleh menjadi ‘jelmaan Chong Wei’ versi wanita melihat kepada bakat besar bintang remaja kelahiran Pulau Pinang itu, apatah lagi usianya masih muda dan boleh digilap.

“Sehingga kini saya belum nam­pak siapa pengganti Chong Wei biar­pun terdapat beberapa nama yang dianggap berpotensi.

“Namun, jangan lupa kita ada Jin Wei. Usianya baharu 16 tahun dan akan mencecah 20 tahun kalau layak ke Olimpik 2020 Tokyo.

“Apa yang boleh saya katakan, kita kena ja­ga budak itu elok-elok. Beri segala yang terbaik. Saya yakin, kalau semua ber­jalan lancar, sekurang-kurangnya ada pengubat harapan untuk mencari pengganti Chong Wei biarpun dalam versi wanita,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Rashid yang juga bekas jurulatih Chong Wei ber­kata, mahu tidak mahu Jin Wei perlu bekerja keras mulai sekarang bagi merealisasikan impian negara untuk memburu emas Olimpik.

Dengan ketiadaan Chong Wei di Tokyo nanti, sasaran emas kini boleh digalas oleh sesiapa sahaja.

“Saya yakin, BAM (Persatuan Bad­minton Malaysia) telah membuat perancangan jangka masa pendek mahupun panjang untuk Jin Wei. Dia perlu diberi pendedahan dan menyertai kejohanan bagi mengumpul mata bagi melayakkan diri ke Olimpik Tokyo.

“Tetapi dalam masa sama, Jin Wei juga kena berwaspada de­ngan tekanan men­tal mahupun fizikal. Ke­na seimbangkan dengan ke­ta­hanan badan agar tidak di­timpa perkara yang tidak diingini terutama kecede­raan,” katanya.

Jin Wei melakar sejarah muncul pemain Malaysia pertama meraih kejuaraan perseorangan perempuan dalam Kejohanan Remaja Dunia di Peru, tahun lalu.

Dia menewaskan rakan se­negara, Lee Ying Ying yang tiga tahun lebih tua daripadanya dalam perlawanan akhir.

Di Rio, selain Chong Wei, dua lagi perak badminton disumbang beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, sekali gus mele­takkan mereka sebagai prospek pingat Ma­lay­sia di Tok­­yo nanti.

0 ulasan:

Catat Ulasan